
PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi mempersoalkan sama ada Muda “suci bersih” berikutan presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih didakwa di mahkamah.
Beliau melontarkan sindiran itu susulan Muda membantah sebarang usaha menyelamatkan “kleptokrat” yang menyebabkan “kerosakan” kepada negara, merujuk permohonan pengampunan Najib Razak terhadap sabitan rasuahnya.
“Najib letak jawatan presiden Umno bila BN hilang kuasa.
“Najib tidak bertanding PRU15. Syed Saddiq bertanding di Muar. Percayalah jika dihukum bersalah nanti Syed Saddiq kekal presiden dan bertanding PRU16,” katanya di Facebook.
Syed Saddiq berdepan empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram.
Semalam, Muda berharap Lembaga Pengampunan menolak permohonan Najib untuk diampunkan.
Muda berkata, pengampunan kepada Najib yang baru menjalani hukuman penjara akan membawa mesej bahawa mana-mana individu berpengaruh dan mempunyai hubungan kuasa, tidak perlu gusar dengan undang-undang.
Sementara itu, Puad berkata, Muda tidak perlu meminta maaf seperti dilakukan Amanah kerana “Umno tidak akan tersinggung dengan Muda”.
“Ini kerana Muda bukan ahli kerajaan perpaduan. Muda masih mengemis untuk masuk PH. Menang pun dengan ihsan PKR. Muda menumpang nyawa untuk hidup,” katanya.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan atas pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang, dan pecah amanah membabitkan RM42 juta dana SRC.
Pada 28 Apr lalu, FMT melaporkan Lembaga Pengampunan tidak membincangkan permohonan Najib untuk pengampunan diraja, walaupun dikatakan telah menjadualkan mesyuaratnya pada hari itu.