
PETALING JAYA: Media tidak boleh dikongkong dan perlu terus kekal bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak dalam melaporkan sesuatu berita, kata bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, sewaktu menjadi perdana menteri dan merasmikan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022, Ismail berkata, beliau pernah memberi penekanan perkara itu demi menjamin kebebasan bersuara di negara ini.
“Ketika merasmikan Hawana 2022, saya menegaskan profesion kewartawanan perlu kekal bebas dan berfungsi tanpa gangguan serta campur tangan pihak lain.
“Bagaimanapun masih ada ruang untuk kebebasan media bergerak maju ke hadapan. Saya percaya pengamal media memiliki self-censorship (penapisan kendiri) dalam isu-isu sensitif demi memastikan keamanan negara.
“Semoga media terus kekal bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam membuat laporan,” katanya di Facebook.
Pada masa sama, beliau turut berharap pengamal media menjadi “mata dan telinga” kepada kerajaan agar tindakan dapat diambil terhadap individu atau pihak terbabit dengan sebarang salah laku.
“Beberapa undang-undang berkaitan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan seksyen tertentu mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dilihat semula,” katanya.
Laporan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2022 dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF) menunjukkan pencapaian baik dan membanggakan negara.
Untuk rekod, kedudukan Malaysia meningkat kepada 113 dengan 51.55 mata berbanding tahun sebelumnya. Tahun lalu Malaysia berada pada kedudukan 119 dengan 60.53 mata.
Malaysia turut menduduki kedudukan tertinggi di Asean diikuti Thailand (115), Indonesia (117), Singapura (139), Kemboja (142), Brunei (144), Filipina (147), Laos (161), Vietnam (174) dan Myanmar (176).