
PETALING JAYA: Sepupu kepada seorang ahli perniagaan yang ditemui mati dicekik dalam cubaan peras ugut minggu lepas berkata, beliau masih terkejut dengan kematian lelaki yang dianggap “baik hati dan pemurah” itu.
Asger Abdul Wahab berkata Usman Chan Bacha, 41, yang mengendalikan rangkaian klinik, tidak pernah menolak untuk memberikan bantuan jika diminta.
“Beliau seorang yang baik hati dan berpendidikan tinggi. Beliau akan membantu pesakit yang tidak mempunyai cukup wang, memberitahu mereka agar tidak bimbang mengenai bayaran,” katanya.
Menurut polis, Usman dicekik sehingga mati pada 26 April lepas oleh seorang kenalannya yang gagal memeras ugut sebanyak RM228,000 daripadanya untuk membayar yuran guaman.
Mayatnya dilaporkan disumbat ke dalam sebuah beg dan dibuang ke dalam gaung di kawasan terpencil di Hulu Langat. Suspek telah ditahan.
Asger berkata, Usman seorang yang sangat meminati bidang biokimia dan kesihatan, walaupun bukan seorang doktor perubatan.
Menurut profil Linkedin, Usman mempunyai ijazah kedoktoran dalam bidang biokimia dari Johns Hopkins University dan ijazah sarjana muda dalam bidang biologi molekul dari University of Wisconsin-Madison. Beliau sebelum ini bekerja di Harvard School of Public Health.
Beliau kembali ke Malaysia dari Amerika Syarikat dua tahun lepas untuk membuka rangkaian klinik.
Usman yang masih belum berkahwin, anak bongsu daripada empat beradik, mempunyai rangkaian klinik di Kajang, Bukit Bintang, Bangsar, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Asger berkata, kali terakhir beliau bertemu Usman adalah pada majlis perjumpaan keluarga pada Hari Raya kedua 23 April lepas.
“Keluarga terkejut apabila diberitahu polis pada Jumaat bahawa Usman telah dibunuh,” katanya.
“Kami tidak mendedahkan berita itu kepada ibunya serta-merta kerana kami berharap mangsa bukan Usman.
“Kami hanya menyampaikan berita itu selepas melakukan pengecaman mayat di hospital.”
Kematian Usman juga merupakan satu kehilangan bagi dunia saintifik, menurut Asger.
“Beliau seorang saintis yang mengkaji DNA, dan juga telah mengarang buku mengenai SARS (sindrom pernafasan akut yang teruk).”