
PETALING JAYA: PRN di enam negeri sukar diadakan serentak kerana ketidakseragaman negeri dalam isu politik dan wang, kata bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar.
Beliau tidak melihat ada masalah di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) untuk mengadakan PRN serentak.
Tetapi katanya, Kelantan, Terengganu dan Kedah pimpinan PAS dilihat cenderung tidak mengadakan PRN serentak kerana perancangan mereka sukar dijangka.
“Negeri kerajaan akan bersepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak, tetapi bagaimana pula bagi negeri di bawah Perikatan Nasional? Mungkin mereka ada perkiraan lain,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Wan Ahmad berkata, jika PRN di enam negeri tidak diadakan serentak, jarak masa terlalu besar antara DUN selepas pembubaran akan menyebabkan SPR terpaksa “bekerja” dua kali atau lebih.
Katanya, PRN wajar diadakan serentak dan waktu paling ideal ialah hujung Jun atau Julai ini.
Beliau berkata, tiada halangan untuk SPR mengadakan PRN ketika itu, sebaliknya cadangan mengadakan PRN pada Ogos kurang sesuai memandangkan ada DUN yang tempoh hayatnya tamat lebih awal.
“Kalau pembubaran berlaku (untuk semua negeri), yang terbaiknya dalam tempoh satu atau dua minggu dari pembubaran DUN pertama, maka semua DUN mempunyai masa dan memberi ruang untuk SPR menetapkan satu tarikh selari.
“Saya sentiasa menggesa dan berharap PRN akan berlaku serentak. Kalau ada negeri yang meletakkan kepentingan politik mengatasi perkara lebih mustahak, maka akan berlaku penjarakan agak luas antara satu DUN dengan yang lain.
“Sebab itu, kalau tidak hujung Jun, maka Julai adalah (masa) terbaik kerana masuk bulan Ogos, kerajaan perlu menumpukan sambutan Hari Kebangsaan.”
Bulan lalu, Wan Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan boleh jimat sehingga RM100 juta jika enam negeri mengadakan PRN serentak, di mana kos itu hanya RM400 juta berbanding RM500 juta jika diadakan berasingan.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, PRN di enam negeri perlu diadakan sebelum cuti sekolah bermula 25 Ogos ini, jika mahu diadakan serentak.
Februari lalu, menteri besar dan ketua menteri enam negeri itu dilaporkan mencapai persetujuan membubarkan DUN masing-masing dalam tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.
Penggal DUN Selangor akan tamat 26 Jun ini, Kelantan (28 Jun), Terengganu (1 Julai), Negeri Sembilan (2 Julai), Kedah (4 Julai) dan Pulau Pinang (2 Ogos).