
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang menembak rakannya disangkakan kijang di kawasan hutan Muka Sauk, Jelebu, minggu lalu dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Norshazwani Ishak selepas Amran Abd Razak, 51, mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.
Tertuduh turut didenda RM2,000 dan boleh dipenjara dua bulan, jika gagal membayar denda itu, menurut Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, Amran didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian lelaki berusia 62 tahun di kawasan hutan Muka Sauk, Jelebu, 3 pagi 24 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Di mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan 13 butir peluru hidup serta tiga butir kelongsong jenis 12 bore pelbagai warna.
Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak di tepi Jalan Muka Sauk, Kuala Klawang, pada 6.30 petang 26 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.