
KUANTAN: Hampir 2,000 jemaah haji Pahang menerima “duit poket” RM500 seorang sebagai bantuan untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu, kata Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, sumbangan julung kali diberikan itu berikutan prestasi baik dan kukuh kewangan kerajaan negeri, sekali gus membolehkan hasil itu dikembalikan kepada rakyat.
“Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban bakal jemaah dan insya Allah kita akan teruskan pada masa depan, bergantung kepada tahap kedudukan kewangan kerajaan negeri.
“Lazimnya, apa yang kita buat selalunya diteruskan, tak pernah dihentikan…kalau kedudukan kewangan bertambah baik kali ini RM500, tahun depan mungkin tambah lagi (jumlah bantuan),” katanya selepas merasmikan Kursus Perdana Haji dan Penyampaian Bantuan Haji Pahang di sini.
Selain bantuan tunai itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut membekalkan juadah makmur, iaitu makanan sedia dimakan kepada jemaah haji.
Guru, Azlina Adam, 53, yang akan menunaikan haji bersama suaminya, Ahmad Omar, 54, dan dua anak mereka, Nur Amira Faeezah, 16, serta Muhammad Amar Faeez, 21, bersyukur terpilih mengerjakan ibadah itu tahun ini, selain menerima bantuan kerajaan negeri.
Beliau yang menetap di Jengka, Maran berkata ia merupakan usaha baik kerajaan negeri untuk membantu rakyat dan mereka akan menggunakan wang itu sebaik mungkin bagi membuat persiapan haji.
Parinah Dolah, 75, yang ditemani anak sulungnya, Hamimah Roslan, 56, pula menganggap sumbangan itu rezeki tidak disangka dan akan menggunakannya ketika melaksanakan ibadah haji kelak.
“Ini pertama kali saya akan mengerjakan haji, seronok sangat masa dapat panggilan telefon Tabung Haji pada bulan puasa…terima kasih juga kepada kerajaan negeri bagi bantuan ini, saya akan gunakan masa di tanah suci nanti,” katanya yang menetap di Muadzam Shah, Rompin.