
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan syarikat pengeluar nadir bumi Lynas diberi kebenaran untuk melanjutkan operasi selama enam bulan lagi mengikut syarat yang ketat.
Anwar berkata, lanjutan operasi itu dibenarkan mengikut syarat ketat dan dipantau.
Katanya, maklumat lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang esok.
Terdahulu, Chang memberitahu FMT, Lynas mendapat lanjutan selama “beberapa bulan” lagi untuk meneruskan operasi memproses dan mengimport bahan radioaktif di Malaysia.
“Sila tunggu kenyataan esok untuk maklumat lanjut,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
Kementerian itu mengadakan tribunal tertutup pada 28 April lalu untuk mendengar rayuan Lynas terhadap empat syarat yang dikenakan terhadap syarikat itu oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).
Rayuan itu dilihat sebagai usaha terakhir untuk memastikan pengeluar nadir bumi itu boleh meneruskan operasi di kilang mereka di Gebeng, Kuantan selepas 1 Julai.
Mengikut Akta Perlesenan Tenaga Atom, Chang ada kuasa untuk memutuskan rayuan Lynas.
Pada 14 Feb, lesen operasi Lynas di Malaysia diperbaharui selama tiga tahun tanpa perubahan dalam syarat pelesenan pada Mac 2020 yang melarang pengimportan dan pemprosesan nadir bumi.
Chang kemudian berkata, kerajaan mungkin membatalkan lesen syarikat Australia itu jika ia gagal mematuhi syarat tersebut.
Beliau berkata, tiada siapa yang berhak “menghasilkan sisa radioaktif secara berterusan” di Malaysia.
Lynas telah berulang kali mempertahankan bahawa kilangnya selamat dan memberikan amaran bahawa pelaksanaan syarat pelesenan sedemikian akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan di Malaysia.
Dalam laporan AFR, Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Amanda Lacaze dipetik sebagai berkata bahawa kilangnya di Gebeng akan terus beroperasi sehingga larangan itu berkuat kuasa.
“Kami akan menjalankan operasi fasiliti retak dan larut lesap itu dalam apa jua keadaan sehingga tengah malam 30 Jun,” katanya.
Beliau berkata, kilang itu akan ditutup selama tiga bulan mulai pertengahan Julai sehingga bekalan bahan mentah terjamin yang mematuhi undang-undang Malaysia dapat dihasilkan di kilang Kalgoorlie Lynas di Perth.
Bahan mentah itu kemudiannya akan dihantar ke Malaysia untuk pemprosesan peringkat akhir.
Nadir bumi digunakan untuk membuat peralatan elektronik, bateri, magnet super dan peralatan canggih lain.