
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim malam ini hadir ke majlis tayangan perdana “Anwar: The Untold Story” iaitu sebuah filem yang memaparkan kisah hidup serta perjuangan politik beliau.
Anwar ditemani isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di lokasi tayangan di Dadi Cinema, Pavillion, 8.15 malam.
Kehadiran Anwar yang juga menteri kewangan itu disambut meriah oleh hadirin dengan laungan “Reformasi” bergema di sekitar pawagam itu.
Turut hadir pada majlis anjuran DMY Creation yang juga pengedar rasmi filem itu ialah Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Pengasas dan Pengerusi DMY Creation, Mohamed Yusoff.
Lebih 250 tetamu kehormat terdiri daripada tokoh politik, penggiat industri kreatif dan beberapa personaliti terkenal tempatan termasuk Siti Nurhaliza juga hadir memeriahkan majlis itu.
“Anwar: The Untold Story” ialah filem arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi dan dibintangi pelakon tempatan popular, Farid Kamil Zahari yang memegang watak sebagai Anwar, manakala aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa membawa watak sebagai Wan Azizah.
Filem berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 itu, menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan serta perjuangannya dalam menentang amalan rasuah.
“Anwar: The Untold Story” yang membabitkan kos RM10 juta itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini.