
PUTRAJAYA: Kerajaan mempertimbang membuat perjanjian bersama Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berhubung peranan mereka terhadap pelarian dan pemohon suaka dalam negara, kata Zahid Hamidi.
Timbalan perdana menteri berkata, ia selaras mandat dan fungsi penubuhan UNHCR dan tidak meletakkan beban pengurusan pelarian semata-mata terhadap kerajaan atau komuniti rakyat tempatan.
“Perjanjian bersama pihak UNHCR selaras dengan Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung PBB (1950) tersebut,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka di Bangunan Perdana Putra.
Dalam pada itu, Zahid berkata kerajaan mengambil berat kegusaran rakyat berikutan kehadiran serta aktiviti dijalankan segelintir golongan pelarian dan pemohon suaka yang bertentangan norma kehidupan masyarakat setempat.
Beliau berkata, kerajaan juga memandang serius peningkatan ketara jumlah pelarian dan pemohon suaka yang memegang kad UNHCR.
Katanya, jumlah itu meningkat daripada 75,617 orang pada 2009 kepada 185,760, Mac lalu.
“Daripada jumlah itu, 160,332 orang atau 86.3% daripada keseluruhan pelarian dan pemohon suaka ini adalah pelarian dari Myanmar.
“107,433 orang (67.0 %) daripada pelarian Myanmar adalah etnik Rohingya,” katanya.
Zahid berkata, pelarian negara lain yang mempunyai jumlah signifikan ialah Pakistan (7,109 orang), Yaman (3,466 orang), Afghanistan (3,444 orang), Somalia (3,161 orang), dan Syria (3,161 orang).
“Mesyuarat juga mengambil maklum terhadap tindakan pihak UNHCR yang mendaftarkan 948 orang yang didakwa sebagai pelarian dari Indonesia.
“Antara alasan diberikan adalah kerana berkahwin dengan pelarian lain di Malaysia, walaupun diketahui bahawa negara tersebut tidak mengalami sebarang krisis kemanusiaan,” katanya.