
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan status kawasan tempatan jangkitan akan diteruskan meskipun Covid-19 tidak lagi menjadi Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC).
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu perlu bagi memenuhi keperluan isolasi atau pengasingan kes Covid-19 di mana-mana tempat selain hospital dan keperluan majikan menanggung kos rawatan serta pengujian yang diarahkan oleh pegawai diberi kuasa untuk dijalankan kepada pekerjanya.
“Dijangkakan penilaian risiko situasi jangkitan Covid-19 di Malaysia akan dilaksanakan pada pertengahan Jun 2023 bagi menyemak semula pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan untuk menentukan hala tuju seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Zaliha berkata, keputusan PHEIC itu susulan hasil mesyuarat Jawatankuasa Darurat Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) yang berlangsung di Geneva pada pada 4 Mei lalu.
Katanya, keputusan ini telah mengambil kira trend global yang menunjukkan penurunan bagi kes kematian Covid-19, kemasukan kes ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tahap imuniti populasi dunia terhadap virus Sars CoV-2 yang tinggi.
Zaliha berkata, antara penyumbang keputusan tersebut melibatkan kebolehcapaian kepada diagnosis, rawatan, dan vaksin serta pemantauan varian virus Sars-CoV-2 juga menunjukkan tidak menyebabkan jangkitan Covid-19 yang teruk.
“KKM akan meneruskan langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 berdasarkan protokol sedia ada serta membuat semakan semula dan mengemas kini garis panduan dengan merujuk kepada kenyataan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) berkaitan transisi pengurusan jangka masa panjang pandemik itu,” katanya.