
PETALING JAYA: Seorang bekas Ahli Parlimen menggesa bekas perdana menteri, seorang menteri dan peguam negara agar mendedahkan sepenuhnya semua perkara yang membawa kepada perjanjian penyelesaian antara kerajaan dengan Goldman Sachs hampir tiga tahun lepas.
“Menteri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Peguam Negara Idrus Harun mesti menghormati kebertanggungjawaban menteri dengan membantu perdana menteri sepenuhnya dalam isu itu,” kata Charles Santiago.
Katanya, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang menerajui kerajaan ketika persetujuan itu dicapai, mesti memberi jawapan yang diperlukan oleh kerajaan semasa pimpinan Anwar Ibrahim berhubung perkara itu.
Bekas Ahli Parlimen Klang itu berkata, Zafrul masih mempunyai tanggungjawab walaupun setelah kepimpinan negara dan portfolionya bertukar.
Zafrul, menteri kewangan dalam pentadbiran Muhyiddin, kini menjadi menteri pelaburan, perdagangan dan industri dalam kerajaan perpaduan Anwar.
“Beliau mahupun Idrus Harun tidak boleh terus berdiam diri kerana perdana menteri sendiri telah mempertikaikan proses penyelesaian itu di Parlimen, malah kepada media antarabangsa,” katanya kepada FMT.
Idrus dilantik menjadi peguam negara ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri pada Mac 2020.
Dalam wawancara dengan Bloomberg TV pada Januari, Anwar membantah tindakan bank pelaburan berpangkalan di New York itu menggunakan “kuasa kewangannya” untuk menetapkan syarat.
Tak boleh terus diam diri
Santiago berkata, sejak tiga tahun lepas wujud rasa tidak puas hati berhubung terma perjanjian penyelesaian itu yang “dibelenggu rahsia”, sedangkan Anwar dan pengerusi pasukan petugas 1MDB Johari Ghani telah mempertikai betapa pantasnya ia dirunding serta dipersetujui.
“Zafrul dan Idrus tidak boleh terus berdiam diri berhubung isu itu,” katanya.
Minggu lepas, Johari memberitahu FMT, beliau terkejut betapa pantasnya penyelesaian dicapai bersama Goldman Sachs.
“Bayaran modal pokok bon hanya perlu dilunaskan pada Mei 2022,” katanya sambil menambah, kerajaan mempunyai tempoh cukup untuk berunding.
Johari berkata, pada 30 Jun 2020, beliau menemui Muhyiddin, Zafrul dan Idrus untuk membincangkan kemungkinan tuntutan terhadap Goldman Sachs di Amerika Syarikat. Pada 3 Julai 2020, beliau mengusulkan cadangan bertulis kepada Muhyiddin, yang seterusnya menghantarnya kepada Idrus pada 15 Julai 2020.
Bagaimanapun, menjelang 24 Julai 2020, kerajaan menandatangani “Points of Agreement” bersama Goldman Sachs. Perjanjian penyelesaian penuh dikuatkuasakan pada 18 Ogos 2020.
Bulan lepas, Anwar dilaporkan Utusan Malaysia sebagai berkata, perjanjian itu dibuat tergesa-gesa.
Antara 2012 dan 2013, Goldman Sachs bertindak sebagai penaja jamin untuk tiga jualan bon yang mengutip USD6.5 bilion (RM26.71 bilion). Bank itu dilaporkan memperoleh yuran besar berjumlah USD606 juta untuk perkhidmatan mereka.
Kebanyakan dana dikumpul itu diseleweng menerusi skim didalangi dua pegawai kanan Goldman Sachs ketika itu, Tim Leissner dan Roger Ng, menyebabkan 1MDB mengalami kerugian antara USD7 bilion hingga USD9.6 bilion. Leissner dan Ng didapati bersalah oleh mahkamah di New York atas tuduhan rasuah melibatkan dana 1MDB.
Perjanjian penyelesaian dilaksanakan pada 18 Ogos 2020 menyaksikan kerajaan dan 1MDB memperoleh semula USD2.5 bilion daripada bank itu, termasuk yuran USD606 juta.
Penyelesaian itu juga termasuk kewajipan pihak bank untuk memastikan pemulihan aset asing yang boleh dikesan kepada dana 1MDB bernilai USD1.4 bilion dalam tempoh lima tahun.
Mengikut terma perjanjian itu, kerajaan berhak menerima bayaran interim sebanyak USD250 juta jika aset bernilai USD500 juta tidak dipulihkan dalam tempoh 24 bulan, iaitu sebelum Ogos tahun lepas. Bagaimanapun, setakat tempoh itu, Putrajaya tidak menerima bayaran yang dijanjikan.
Pada 27 Februari lepas, Johari memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia menanggung kerugian amat besar dalam perjanjian itu, yang dipersetujui Anwar di Parlimen pada 9 Mac.
Johari turut menggesa kerajaan mengenal pasti dan menyiasat perunding yang bertindak bagi pihak Putrajaya dalam hal itu.
Keesokannya, Anwar melantik Johari untuk mengetuai pasukan petugas 1MDB.