
PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata data termasuk nombor MyKad milik kira-kira 12,000 pemohon telah disiarkan di satu pautan yang tidak selamat.
UiTM mengeluarkan kenyataan itu susulan laporan data tersebut bocor di internet.
“Pautan kepada senarai tersebut tidak lagi aktif dan kemaskini telah dilakukan. Pihak UiTM mohon maaf di atas kesilapan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di Twitter.
Terdahulu hari ini, seorang pengguna Twitter mendakwa UiTM menyiarkan nombor MyKad dan emel 11,891 pemohon di internet.
Semakan di laman Twitter milik pengguna itu menunjukkan beberapa tangkap layar senarai itu.
Menurut pengguna Twitter itu, pautan itu dikongsi dengan pelajar untuk menyemak butiran peribadi mereka menerusi fungsi carian di pelayar internet.
Beberapa pengguna media sosial mengkritik UiTM susulan kesilapan itu dan menyifatkan pihak universiti sebagai cuai.
Beberapa pengguna berkata, UiTM tidak menggunakan perisian memproses data yang dipercayai bagi menyimpan maklumat sensitif.