
KLANG: Meskipun Syawal semakin menghampiri penghujungnya, namun kemeriahan Aidilfitri masih dirasai dengan setiap komuniti meraikannya mengikut cara tersendiri untuk mengeratkan lagi hubungan.
Penduduk di Taman Klang Perdana misalnya mengadakan aktiviti baraan, iaitu ziarah dari rumah ke rumah beramai-ramai. Selain menjamu hidangan, mereka juga berdoa dan berselawat untuk kesejahteraan tuan rumah.
Walaupun tiada sejarah khusus mengenai baraan, ia mungkin bermula sebagai amalan kunjung-mengunjung sesama ahli keluarga dalam kalangan masyarakat Jawa dan selepas berhijrah ke Tanah Melayu (kini dikenali Semenanjung Malaysia) resam itu dibawa bersama.
Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Klang Perdana, Abdol Aziz Sahat, aktiviti baraan dimulakan sejak 2015, namun terhenti pada 2020 akibat Covid-19.
“Tiga tahun kita rehat, bila Covid-19 dah tak ada, kawan-kawan tanya ‘tak nak teruskan? kenapa tidak?’ Kita teruskan sebab ini aktiviti yang sihat.
“Bukan semua orang dapat jumpa (bertegur sapa), apabila masuk ke rumah jiran kita berdoa, berselawat dan mendoakan tuan rumah, banyak perkara positif kita dapat dengan baraan ini,” katanya kepada FMT.

Aziz berkata, tahun ini, mereka menggunakan lima hari, bermula 1 Mei lalu, untuk menziarah semua rumah penduduk pada waktu malam yang kebiasaannya diakhiri sambutan Aidilfitri secara besar-besaran.
“Kita galakkan anak muda sertai, untuk latih mereka teruskan tradisi. Kita ajak, peluk dan raikan mereka.
“Tuan rumah pun sediakan duit raya, ini menaikkan lagi semangat mereka,” katanya sambil menjelaskan baraan sentiasa dinantikan pelbagai lapisan penduduk.
Pesara kerajaan, Sallehuddin Lop, 66, berbangga rukun tetangganya sepakat dan mengadakan baraan tanpa gagal bagi mengeratkan hubungan antara penduduk.

“Baraan ini cukup istimewa untuk penduduk Taman Klang Perdana, kalau tiada, bagaimana hendak erat hubungan,” kata datuk kepada 13 cucu itu.
Bagi Khayaty Sarman, 55, aktiviti baraan harus diteruskan generasi akan datang untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara jiran tetangga.
“Saya harap kesinambungan ini diteruskan, ini cara kita bersatu dan merapatkan hubungan,” katanya.