
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 13,331 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM3.3 juta terhadap individu dikenal pasti merokok di premis makanan seluruh negara hingga Mac lalu.
Dalam kenyataan KKM berkata, sebanyak 948 notis kesalahan pula dikeluarkan mengikut Peraturan 12 (1) (a) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) (2004) iaitu gagal mempamerkan tanda larangan merokok dikeluarkan kepada pemilik premis.
Katanya, bagi kesalahan mengikut Peraturan 12(1)(b) kerana gagal memastikan tiada orang merokok di premisnya, sebanyak 494 notis kesalahan dikeluarkan untuk tempoh sama.
“Secara keseluruhan sebanyak 29,817 notis sudah dikeluarkan bagi semua kesalahan merokok di tempat larangan dengan 4,113 operasi dilakukan bagi tempoh hingga Mac lalu,” katanya menurut Harian Metro.
KKM berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 30,648 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM7.6 juta dikeluarkan kepada individu merokok di premis makanan.
“Selangor mencatatkan pengeluaran notis kesalahan tertinggi iaitu 14,124 diikuti Pahang sebanyak 7,948 dan Johor (7,111).
“Sebanyak 2,445 notis kesalahan pula dikeluarkan kepada pemilik premis mengikut Peraturan 12(1) (a), manakala sebanyak 1,433 notis dikeluarkan mengikut Peraturan 12(1)(b).
“Untuk tahun lalu secara keseluruhan sebanyak 67,123 notis dikeluarkan bagi semua kesalahan merokok di tempat larangan dengan jumlah operasi dilakukan ialah 12,773,” katanya.
Menurut KKM, pihaknya terus giat melakukan penguatkuasaan larangan merokok di tempat diwartakan terutama di premis makanan selain turut melaksanakan advokasi bagi meningkatkan kesedaran orang awam bagi mematuhi peraturan larangan merokok yang ditetapkan.