
PETALING JAYA: Lembaga Pengarah Universiti (LPU) bertanggungjawab memastikan segala hala tuju dan pertimbangan yang dibuat oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sehala kepentingan nasional, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Nordin.
Beliau berkata, ia memainkan peranan sebagai wakil kerajaan dan kepentingan awam dalam IPTA bagi tujuan semak dan imbang, terutama mengekalkan kepercayaan masyarakat umum terhadap sistem pendidikan.
“LPU mesti menggunakan pengalaman, pengaruh, dan kepelbagaian jaringan mereka untuk melonjakkan prestasi universiti, pada masa yang sama menjadi pihak paling bermaklumat dan terkini melalui pelbagai latihan mahupun program pembangunan kapasiti,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Khaled, Program Suai Tugas Strategik Ahli Lembaga Pengarah Universiti Awam (SOfBoD) diadakan bagi memperkasa kepimpinan institusi pengajian tinggi awam sebagai usaha pemantapan lembaga pengarah dan pengurusan universiti.
“Antara objektifnya adalah untuk memperkasa kompetensi kritikal ahli LPU seiring dengan kemajuan trend dan keperluan teknologi pendidikan tinggi global, selain memastikan ahli-ahli baharu memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.
“Ia turut menekankan integriti dan amalan tadbir urus mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) pindaan 2019 dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 bagi menjamin pembangunan mampan untuk universiti awam,” katanya.
Tambahnya, modul “Vice Chancellor Executive Coaching” atau VCEC turut dilancarkan sebagai garis panduan kepada pembimbing dalam mengendalikan sesi bimbingan kepada naib canselor yang dipilih.
“Program SOfBoD turut diikuti sesi perkongsian dan forum oleh penceramah dan ahli panel tersohor dalam ekosistem pendidikan tertinggi.
“Diharap program ini dapat memperkukuh jaringan kerjasama strategik dan memperkasakan kepimpinan ahli LPU mengenai tadbir urus universiti awam sebagai sebuah badan berkanun,” katanya.