
PETALING JAYA: Pelantikan pemimpin politik sebagai pengerusi baharu badan berkanun bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bukan atas kapasiti politik namun berdasarkan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi, kata Menterinya Mohamad Sabu.
Beliau berkata, pemilihan itu dibuat selepas melihat reputasi dan pembabitan individu terbabit dalam masyarakat.
“Jawatan mereka hanya pengerusi, di bawah ada pakarnya, semuanya bekerjasama. Pengerusi hanya mempengerusikan mesyuarat dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) misalnya, banyak pakar di bawahnya.
“Penglibatan mereka (pengerusi) dalam masyarakat yang utama, kita tak boleh pilih orang yang berbentuk elit kerana mereka kena ambil tahu hal di bendang, hal nelayan. Jadi, rekod mereka dalam masyarakat yang paling utama,” katanya menurut Sinar Harian.
Dalam pada itu, Mohamad berkata tidak timbul isu pelantikan dibuat sebagai ganjaran atau imbuhan buat mereka walaupun ada antaranya calon yang kalah dalam PRU15.
“Ramai yang kalah dalam PRU15 tapi jadi menteri sekarang. Apa kamu nak kata? Prestasinya juga bagus, jadi itu bukan pengukur,” katanya.
Semalam, Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu mengumumkan lima pelantikan pengerusi badan berkanun bawah kementeriannya yang berkuatkuasa 15 Mei ini.
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar dilantik menerajui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), selain Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil dilantik mengetuai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Bekas Adun Paloh Sheikh Umar Bagharid Ali pula mengetuai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah Dr Azman Ismail dilantik pengerusi Mardi, manakala Aminuddin Zulkipli dilantik pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
TAGS Mohamad Sabu, agensi, badan berkanun, lantikan, politik, pengerusi, LPP