PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia mengukuh dengan perkembangan mengagumkan iaitu sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini, lapor Bank Negara (BNM).
Menurut laporan suku tahunan BNM, ekonomi berkembang sebanyak 0.9% daripada suku keempat tahun lepas, pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim.
Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 7% tahun ke tahun pada suku keempat 2022, manakala keluaran dalam negara kasar bertumbuh sebanyak 8.7% pada tahun itu.
“Inflasi keseluruhan lebih rendah selaras dengan persekitaran kos yang mereda, kepada purata 3.6% pada suku pertama berbanding 3.9% pada suku keempat tahun lepas,” kata Gabenor Nor Shamsiah Yunus.
Penurunan itu didorong oleh harga bekalan yang lebih rendah, terutama minyak RON97, yang menurut Shamsiah menyumbang kepada 2/3 daripada penurunan inflasi pada suku pertama.
Dalam pada itu, inflasi teras berkurangan kepada 3.9%, namun melebihi purata 2% yang pernah dicatatkan sebelum ini.
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjurkan menjadi sederhana, antara 2.8% dan 3.8% tahun ini, namun imbangan risiko bagi prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi.
Petunjuk ekonomi semasa menunjukkan ekonomi memulih ke tahap lebih kukuh berbanding sebelum Covid-19, lantas melakar gambaran yang optimistik untuk sepanjang tahun.
Perkembangan ekonomi pada suku pertama didorong oleh penggunaan swasta dan aktiviti pelaburan, di samping prestasi sektor perkhidmatan dan perkilangan, pasaran pekerja yang bertambah baik, pelancongan ke dalam negeri yang terus pulih, dan projek prasarana awam yang sedang berjalan.
Bagaimanapun, BNM berkata ekonomi masih terdedah kepada risiko yang berkait dengan perkembangan luar negara, seperti pertumbuhan global lebih lemah yang boleh membawa kepada harga komoditi lebih rendah.
Eksport negara perlahan pada suku pertama 2023, yang berkembang 2.8% berbanding 11.8% pada suku tahun sebelum ini.
Permintaan luar negara yang sederhana menyaksikan lebihan akaun semasa Malaysia turun 84%, kepada RM4.3 bilion berbanding RM27.5 bilion pada suku tahun sebelum ini.
Di samping itu, pendapatan utama mencatatkan defisit yang lebih besar pada suku pertama tahun ini, disebabkan oleh pendapatan pelaburan yang lebih rendah daripada pelaburan di luar negara.
Pelaburan langsung asing mencatat aliran masuk bersih RM12 bilion pada suku pertama tahun ini, daripada pendapatan dilabur semula dan suntikan ekuiti yang berterusan.
Ini terutamanya dari Mauritius, Switzerland, dan Hong Kong, dan sebahagian besarnya disalur ke subsektor perkhidmatan kewangan, serta perlombongan dan pembuatan.