
ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu memfokuskan kempen pilihan rayanya di Kedah dalam menyelesaikan isu tempatan, seperti masalah air di negeri itu untuk memenangi PRN, kata seorang pemimpin BN.
Pengerusi BN Kedah, Mahdzir Khalid berkata dua gabungan itu perlu tampil dengan penyelesaian jangka panjang terhadap kekurangan bekalan air mentah negeri terbabit.
Katanya, ini isu kritikal yang membelenggu beberapa daerah dan Langkawi, dengan kegagalan menangani perkara itu akan menjejaskan sektor pelancongan Kedah dengan teruk.
“Kita tidak boleh hanya fikir menyelesaikan masalah harian lagi,” katanya kepada FMT.
Bekas Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata, Langkawi bergantung kepada air terawat dari tanah besar Kedah melalui paip dasar laut yang dibina kira-kira 25 hingga 30 tahun lalu.
Katanya, destinasi pelancongan itu memerlukan paip dasar laut kedua dan cara lain bagi meningkatkan bekalan air tempatannya.
Bulan lalu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berikrar masalah air dihadapi Kedah akan diselesaikan, jika BN dan PH berkuasa di negeri itu.
Dewan Undangan Negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu dijangka dibubarkan pada separuh kedua Jun untuk memberi laluan kepada PRN.
Manfaat buat Kedah
Mahdzir berkata, BN dan PH perlu menunjukkan kepada rakyat Kedah bahawa hubungan erat Putrajaya dan kerajaan negeri itu akan menguntungkan mereka berbanding ditadbir PAS.
Katanya, penanam padi, penoreh getah, pekebun kecil kelapa sawit dan nelayan di Kedah mampu meningkatkan pendapatan mereka melalui kerjasama lebih baik dengan agensi pertanian persekutuan.
Bekas naib presiden Umno itu berkata, hubungan erat antara kerajaan persekutuan dan negeri akan membolehkan lebih banyak pelaburan asing dibawa ke Kedah, khasnya Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim.
“Kita perlu mempunyai data mencukupi (untuk tunjuk kepada pengundi) berapa ramai bakat tempatan akan mendapat manfaat apabila syarikat multinasional datang melabur di Taman Hi-Tech.”
Mahdzir berkata, BN dan PH juga perlu bercakap mengenai kerjasama antara Kedah dan Putrajaya boleh membantu dalam memajukan lagi Langkawi.
Penganalisis politik, Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, PH dan BN perlu berusaha habis-habisan di media sosial serta arus perdana untuk “menjual” idea pembentukan kerajaan perpaduan di Kedah sebagai alternatif kepada pentadbiran negeri diterajui Sanusi Nor ketika ini.
Katanya, rakyat Kedah sedar dasar dan pembangunan dirancang boleh dilaksanakan lebih baik apabila negeri itu mempunyai hubungan baik dengan kerajaan persekutuan.
“Rakyat Kedah sebenarnya mahu kerajaan negeri yang mesra dengan Putrajaya,” katanya kepada FMT.
“Ramai rakyat Kedah tidak selesa dengan kerajaan semasa pimpinan Perikatan Nasional yang dilihat agak konfrontasi dengan kerajaan persekutuan.”
Beliau berkata, gabungan itu perlu mula mengadakan lebih banyak ceramah di seluruh negeri sekarang, bukannya menunggu sehingga tempoh kempen PRN bermula.