
PETALING JAYA: Kerajaan negeri sedia mempertimbang peruntukan secara berkala kepada Adun pembangkang susulan titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah ketika istiadat pembukaan sidang DUN, Isnin lalu.
Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata bagaimanapun peruntukan itu “tidak sama” dengan peruntukan diterima wakil rakyat kerajaan negeri.
“Kita bercadang untuk agihkan peruntukan secara berkala. Selepas itu, akan ada lagi (peruntukan). Kita menjunjung titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
“Peruntukan tetap diberikan tetapi tidak sama dengan wakil kerajaan. Kena ada perbezaan dan ini perkara biasa dan tidak dapat dinafikan.
“Tidak berlaku (dalam kerajaan) peruntukan sama (antara Adun pembangkang dan kerajaan),” katanya menurut Utusan Malaysia.
Wan Rosdy berkata, sepatutnya tidak timbul isu sama ada ia titah atau tidak sebagaimana dibangkitkan Ketua Pembangkang Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Sebelum titah Tuanku lagi, kita ada memberikan peruntukan RM5,000 kepada pembangkang Ramadan lalu.
“Memang ada dalam perancangan tetapi tidaklah setiap bulan. Perlu ada tanda aras supaya ada ukuran bagi mendapatkan butiran terperinci, seia dan sekata tidak macam negeri lain yang ada Adun dapat dan ada tidak.
“Berkaitan peruntukan kepada pembangkang ini, kita akan bawa kepada perbincangan bersama exco. Saya tidak boleh beri kelulusan sewenang-wenangnya kerana ia melibatkan duit kerajaan negeri. Kena tengok implikasi kepada kewangan dan aliran kerajaan negeri,” katanya.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri tidak pernah sesekali mengabaikan kebajikan rakyat malah sentiasa menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan kepada rakyat negeri ini secara berterusan meliputi segenap lapisan masyarakat tanpa memilih bangsa, agama mahupun warna politik.
“Malah, di kawasan DUN pembangkang sekali pun kerajaan negeri akan tetap salurkan bantuan ini, walaupun pengundi di kawasan tersebut tidak memilih kami pada PRU lalu kerana ini sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai kerajaan,” katanya.
Katanya, walaupun peruntukan tidak disalurkan terus kepada Adun pembangkang, namun bantuan tetap sampai kepada rakyat menerusi menteri besar, exco, penyelaras DUN serta pejabat daerah.
Pada Isnin lalu, Tengku Hassanal bertitah agar kerajaan negeri memberikan peruntukan yang adil kepada Adun pembangkang negeri itu.