
PETALING JAYA: Konvensyen Kerajaan Perpaduan esok boleh dikatakan titik perubahan dalam perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara, kerana ia mahu mempamerkan kepada rakyat kesepakatan parti-parti politik selepas kejatuhan dan pancaroba pentadbiran-pentadbiran lepas.
“Konvensyen itu nanti penting untuk mempamerkan gabungan-gabungan parti itu telah bersatu,” kata penganalisis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara.
Keserasian kerajaan campuran yang ditunjangi Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dan Warisan akan diuji pada PRN di enam negeri tidak lama lagi, ketika Semenanjung dibadai Gelombang Hijau yang dicetuskan oleh Perikatan Nasional.
Malah, beberapa pemimpin PN baru-baru ini menyertai Proklamasi Orang Melayu, yang diasaskan oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad ‘untuk menyatukan orang Melayu’.
“Gelombang Hijau dan gabungan Mahathir itu perlu dijawab dan ditangani. Masalahnya perhubungan awam atau ‘perang saraf’ kerajaan agak longgar,” kata Azmi, yang percaya konvensyen esok peluang untuk menyelaraskan komunikasi dan mematikan keraguan terhadap keutuhan kerajaan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim melepasi ujian pertamanya menerusi undi percaya di Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu. Pembangkang ketika itu memilih untuk tidak terlibat meskipun mendakwa tidak diketahui berapa orang yang menyokong beliau.
Anwar baru-baru ini mencabar pembangkang buktikan di Dewan Rakyat bahawa mereka mempunyai sokongan yang cukup untuk menumbangkan pentadbirannya, susulan khabar angin yang dicetuskan di media sosial.
“Keutuhan dan kestabilan kerajaan perpaduan penting untuk pengundi enam negeri membuat pilihan,” kata Azmi.
Enam negeri yang bakal mengadakan pilihan raya adalah Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang diperintah PN, serta Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan yang ditadbir kerajaan perpaduan.
Meskipun PRN tiada kaitan langsung dengan kerajaan persekutuan, ia berpotensi mengolah naratif politik semasa. Umno, Amanah, PAS, dan Bersatu dijangka lebih ke depan bagi merebut sokongan orang Melayu – penentu kelangsungan parti-parti tersebut, sekaligus kestabilan blok pemerintah dan pembangkang.
“Politik Melayu-Islam masih lagi relevan dalam semua perkara, dan ia masih dilihat penting oleh kedua-dua gabungan sama ada pembangkang mahupun kerajaan,” kata penganalisis politik, Noor Nirwandy Mat Noordin.
Beliau menambah meskipun penting untuk kerajaan perpaduan memenangi sebanyak mungkin negeri pada PRN kelak, kekalahan bukan bermaksud rakyat tidak menerima mandat PRU15.
Sebaliknya ia menunjukkan politik sihat, “di mana kewujudan pembangkang mampu untuk mengimbangi elemen politik dominasi,” katanya.
Pandangan itu di sebalik beberapa faktor penstabil yang memungkinkan kerajaan perpaduan bertahan, seperti undang-undang anti-lompat parti; insentif bagi BN, GPS, GRS, dan Warisan untuk terus bersama kerajaan; dan pendekatan berhati-hati berkaitan dasar serta ketika berurusan dengan pengundi dan perkhidmatan awam.
Selepas enam dekad diperintah oleh sebuah gabungan dominan, PRU15 menguatkan pandangan bahawa kerajaan masa depan akan dibentuk oleh parti-parti berlawanan yang sedia dan sanggup bertolak-ansur, dan betapa gentingnya Konvensyen Kerajaan Perpaduan esok.