
PETALING JAYA: Muda mengesahkan akan hadir pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan esok selepas “diketepikan” dalam siri mesyuarat sebelum ini.
Setiausaha Agung Muda, Amir Abdul Hadi, berkata pihaknya menerima jemputan menghadiri persidangan menghimpunkan 10,000 perwakilan daripada 19 parti politik dalam gabungan kerajaan perpaduan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.
“Kami menerima jemputan itu. Kami akan hadir esok,” katanya menurut The Star.
Muda sebelum ini melahirkan rasa tidak senang kerana diketepikan daripada dua mesyuarat sekretariat kerajaan perpaduan yang pertama, walaupun selepas menyatakan sokongan kepada pentadbiran sekarang.
Parti yang diketuai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pihaknya menulis empat surat rasmi kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menyertai gabungan itu tetapi tidak mendapat jawapan.
Sementara itu, Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Larry Sng turut mengesahkan kehadiran perwakilan parti itu.
PBM sebelum ini secara terbuka menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN akan datang.