
PETALING JAYA: Dua pelajar sebuah politeknik di Pahang maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di KM33 Jalan Bahau-Keratong semalam.
Pelajar Politeknik Muadzam Shah, Chen Pui Xia, 22, dari Sungkai, Perak dan Norsyahira Rahmat, 23, dari Sepang, Selangor, maut dalam nahas yang berlaku pada 3.40 petang itu.
Seorang lagi, Nur Syafikah Shuib, 21, dari Kepala Batas, Pulau Pinang, yang menaiki kenderaan sama, cedera parah dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Jempol, Negeri Sembilan.
Menurut Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook, Perodua Axia yang dinaiki pelajar-pelajar politeknik berkenaan disewa di sekitar Muadzam, Pahang, dan difahamkan kesemuanya dalam perjalanan pulang ke politeknik dari Selangor.
Hoo berkata, kejadian berlaku apabila Perodua Axia berkenaan, dari arah Bahau menuju Keratong, masuk secara mengejut ke laluan treler yang sedang menuruni jalan berbukit dari arah Keratong menuju Bahau.
“Akibat kejadian itu, kedua-dua kenderaan bertembung secara berdepan di laluan treler tanpa muatan itu,” katanya, lapor Kosmo.
Chen, yang memandu kereta, dan Norsyahira, penumpang belakang, mengalami kecederaan parah di kepala dan di bahagian kaki.
Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dibawa ke Hospital Jempol bagi tujuan bedah siasat hari ini.
Pemandu treler berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kata Hoo.