
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan orang ramai kini boleh membuat temu janji untuk perkhidmatan kesihatan pergigian menerusi aplikasi MySejahtera.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata kemudahan temu janji menerusi aplikasi MySejahtera yang membabitkan fasiliti kesihatan primer KKM akan bermula 15 Mei ini.
“Peluasan ini akan mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pergigian dan kemudahan akses ke klinik pergigian selain daripada kaedah ‘walk-in’ yang masih lagi diteruskan.
“Melalui inisiatif ini juga, orang awam boleh menempah perkhidmatan pemeriksaan kesihatan pergigian dan merancang lawatan ke fasiliti kesihatan pergigian mengikut kesesuaian masa,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, peluasan sistem janji temu MySejahtera baharu itu menawarkan janji temu pemeriksaan kesihatan pergigian melalui perkhidmatan pesakit luar.
Radzi berkata, bagi kes kecemasan pergigian seperti sakit gigi atau kecederaan tisu muka, orang awam boleh hadir terus ke mana-mana klinik pergigian berdekatan bagi mendapatkan rawatan kecemasan tanpa perlu melakukan tempahan janji temu.
Dalam perkembangan berasingan Radzi berkata, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati sebanyak 15% daripada penduduk Malaysia tidak pernah mendapatkan pemeriksaan gigi dengan pengamal pergigian seumur hidup mereka.
“Manakala sebanyak 50% daripada penduduk Malaysia pula, hanya mendapatkan pemeriksaan pergigian yang terakhir mereka lebih dari dua tahun lepas.
“Situasi ini amat membimbangkan kerana kejadian penyakit gusi dan karies gigi dalam kalangan dewasa masih tinggi dengan masing-masing 90% dan 89% menurut Tinjauan Kesihatan Mulut Kebangsaan Untuk Golongan Dewasa 2010,” katanya.