
KUALA LUMPUR: Muda mahu saman mereka terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Hakim Nazlan Ghazali dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Dalam permohonan difailkan di Mahkamah Tinggi, parti tersebut menyatakan mahkamah tertinggi harus menentukan persoalan undang-undang sama ada siasatan itu mengikut perlembagaan atau tidak.
Persoalan itu adalah sama ada SPRM mempunyai kuasa dan bidang kuasa untuk menyiasat seorang hakim Mahkamah Tinggi yang sedang berkhidmat kerana melanggar Kod Etika Hakim 2009 atau mempengerusikan kes walaupun wujud konflik kepentingan.
Penolong Pendaftar Kanan, Lee Kah Full menetapkan permohonan untuk pengurusan kes pada 12 Julai.
Lim Wei Jiet mewakili Muda, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili SPRM dan kerajaan.
Muda memfailkan saman bulan lalu untuk mengisytiharkan hasil siasatan agensi itu bahawa Nazlan mungkin melanggar etika kehakiman dan bertindak dalam konflik kepentingan ketika mempengerusikan perbicaraan SRC International Najib Razak di Mahkamah Tinggi adalah melanggar undang-undang dan tidak berperlembagaan.
Pada 23 Feb, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, memberitahu Dewan Rakyat bahawa laporan siasatan itu dikemukakan SPRM kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan satu salinan kepada beliau.
Dalam surat bertarikh 6 April kepada peguam Najib, Shafee & Co, Azalina mengesahkan bahawa siasatan SPRM menyimpulkan bahawa Nazlan mungkin melanggar etika dan mempengerusikan perbicaraan dalam keadaan ada konflik kepentingan.
Beliau berkata, SPRM mengenal pasti “isu kesalahan” yang perlu “dipertimbangkan” oleh ketua hakim.
Nazlan menghukum Najib atas tuduhan salah kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang melibatkan dana RM42 juta milik SRC International, yang didepositkan ke dalam akaun bank bekas perdana menteri itu.
Hukuman beliau dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu.
Pada Mac, usaha Najib untuk menyemak semula hukuman dan sabitannya ditolak oleh panel berbeza Mahkamah Persekutuan.
Tahun lalu, peguam Haris Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai memfailkan saman terhadap SPRM yang mempertikaikan siasatan mereka terhadap Nazlan berhubung dakwaan mengenai jumlah wang lebih dari RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun bank beliau.
Mereka berkata, siasatan tersebut melanggar kebebasan badan kehakiman dan prinsip pembahagian kuasa.
Satu panel Mahkamah Persekutuan terdiri daripada tujuh hakim memutuskan bahawa siasatan SPRM terhadap Nazlan tidak mengikut protokol yang ditetapkan.
Dalam penghakiman sebulat suara, Tengku Maimun menyatakan badan penyiasat seperti SPRM harus berunding dengan ketua hakim sebelum memulakan siasatan.
“Kegagalan mereka untuk memberitahu menunjukkan bahawa mereka tidak bertindak secara jujur.
“Pengumuman (yang dibuat oleh SPRM melalui media) sudah cukup untuk merosakkan institusi kehakiman,” katanya ketika mengumumkan keputusan mahkamah.