
PETALING JAYA: Sebanyak 11 kes jangkitan penyakit anjing gila dicatatkan di Sarawak tahun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan.
Daripada 11 kes yang dilaporkan itu, sembilan melibatkan kematian, katanya.
Sejak cetusan jangkitan penyakit anjing gila diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017, terdapat 66 kes disahkan, melibatkan 59 kematian.
“Daripada 11 kes yang dilaporkan pada tahun 2023 ini, empat (4) kes
masing-masing dari Bahagian Sibu dan Bahagian Serian, dua (2) kes dari
Bahagian Kuching, dan satu (1) kes dari Bahagian Bintulu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Radzi, lapan kes dilaporkan berpunca daripada gigitan anjing, dua disebabkan cakaran atau gigitan kucing, manakala satu lagi tidak diketahui puncanya.
Mangsa terlibat berusia dalam lingkungan enam hingga 63 tahun.
Radzi menggesa orang ramai agar mengambil langkah mengelak jangkitan, seperti membersihkan luka cakaran dan gigitan haiwan selama sekurang-kurangnya 15 minit; mendapatkan rawatan segera; dan memastikan vaksinasi anti-penyakit anjing gila diterima dengan lengkap.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menjauhi haiwan liar, termasuk anjing dan kucing liar, sama ada yang hidup atau pun telah mati.
Radzi berkata, sebanyak 31 buah fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh Sarawak menyediakan perkhidmatan rawatan gigitan haiwan, termasuk vaksinasi anti-penyakit anjing gila.
Tambahnya, sembilan buah hospital turut memberikan perkhidmatan suntikan “Rabies Immunoglobulin” bagi kes-kes berisiko tinggi.