
PETALING JAYA: Seorang aktivis pendidikan, yang mengilhamkan filem “Adiwiraku” pada 2017, telah memulakan misi untuk menjadikan persekolahan menyeronokkan bagi murid-murid Orang Asli di Perak.
Cheryl Ann Fernando, kini pengarah Pemimpin Global School Leaders (GSL), berkata NGO itu sedang berusaha memperkasakan 60 guru dari 30 sekolah Orang Asli di negeri itu melalui beberapa siri bengkel.
Inisiatif yang dimulakan pada April tahun lepas itu bertujuan melatih guru tentang cara melibatkan diri dengan murid dan menyesuaikan pendekatan mereka selaras dengan budaya Orang Asli.
“Kami mahu guru-guru ini mampu membangunkan murid mereka dengan minda pertumbuhan, dan untuk tujuan itu, kami bantu menerapkan pedagogi Orang Asli,” katanya kepada FMT.
Menurut wanita berusia 38 tahun itu, guru di sekolah Orang Asli sering berdepan cabaran dalam usaha menjadikan pengajaran “menarik dan relevan dengan persekitaran murid”.
Sebagai contoh, buku teks mungkin menyebut tentang KLCC, tetapi mungkin sukar bagi murid Orang Asli untuk mengaitkan diri mereka dengannya.
Idea untuk inisiatif itu bermula semasa wabak, yang mengakibatkan pendidikan pelajar terjejas disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kumpulan ini paling rentan. Mereka tidak dapat akses kepada pembelajaran dalam talian semasa PKP, jadi selama dua tahun, mereka ketinggalan,” katanya.
Pada masa akan datang, NGO itu menyasarkan untuk bekerjasama dengan semua 98 sekolah Orang Asli di Malaysia, dengan negeri seterusnya ialah Pahang, yang mempunyai lebih 30 sekolah Orang Asli.
‘Adiwira’
Cheryl Ann menjadi tumpuan selepas filem “Adiwiraku” dibuat, berdasarkan pengalamannya sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah luar bandar yang menubuhkan pasukan sebutan korus (choral speaking) pada 2013 untuk menyertai pertandingan.
Beliau mengajar di SMK Pinang Tunggal di Sungai Petani, Kedah, selama tiga tahun.
Pasukan itu hanya berjaya menjadi antara lima pasukan teratas pada pertandingan peringkat daerah. Bagaimanapun, Cheryl Ann berjaya memberikan inspirasi kepada anak-anak muridnya untuk belajar bahasa Inggeris selepas mengecap kejayaan itu, dan impaknya kekal sehingga hari ini.
“Bulan lepas, saya lalu di hadapan sekolah itu dan ternampak sepanduk besar tertera ‘Adiwiraku’. Itu slogan mereka.
“Pengetua meneruskan semangat itu untuk mengingatkan pelajar bahawa mereka adiwira,” kongsinya.
Tambahnya, pengalaman itu membuka matanya kepada kemungkinan yang mampu dicapai dengan memperkasakan sekolah-sekolah awam.
“Usaha menambah baik sistem pendidikan telah menjadi matlamat peribadi saya,” katanya.
“Saya mahu memastikan anak-anak saya, dan semua anak-anak di luar sana, mendapat pendidikan sehabis baik.”