
KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) anti-lompat parti setakat ini tidak tersenarai dalam agenda Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadual berlangsung pada 22 hingga 25 Mei.
Speaker DUN Sabah Kadzim M Yahya, berkata pihaknya setakat ini masih belum dimaklumkan oleh kerajaan negeri sama ada RUU itu akan dibentangkan atau tidak pada sidang kali ini.
“Setakat ini kami belum dimaklumkan. Namun, jika kerajaan bersedia untuk membentangkannya, kami akan lakukan. Manalah tahu mungkin esok (kerajaan negeri) putuskan kerana mereka akan adakan mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya pada sidang media sempena Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Sabah Ke-16.
Kadzim berkata, RUU anti-lompat parti itu memerlukan masa panjang untuk dibahaskan kerana ia akan menarik penglibatan ramai pembahas dalam kalangan ahli DUN.
Justeru, katanya “satu sidang DUN Khas” kemungkinan diadakan sekiranya RUU itu tidak sempat dibentang dan dibahaskan pada sidang kali ini.
Sementara itu, Kadzim berkata, pihaknya ada menerima RUU persendirian mengenai anti-lompat parti untuk dibentangkan dan telah menyerahkannya kepada kerajaan negeri untuk diteliti.
Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin dijadual merasmikan persidangan itu Isnin depan yang bakal menyaksikan pembentangan tiga RUU.
April lalu, Presiden Warisan Shafie Apdal berkata, parti itu akan memfailkan RUU persendirian mengenai anti-lompat parti pada sidang DUN akan datang.
Shafie dilapor berkata, langkah itu diperlukan dan dibenarkan dalam persidangan negeri serta undang-undang negeri membenarkan pembentangan RUU seiring dengan kerajaan persekutuan untuk mengelakkan ketidakstabilan.