
PETALING JAYA: Sarawak akan kembali mengaktifkan semula wabak rabies sebagai bencana, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah negeri, Stephen Rundi Utom.
Katanya, perkara itu susulan pertemuannya dengan Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
“Saya bertemu dengan menteri bertanggungjawab ke atas JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan kami bersetuju untuk mengaktifkan semula rabies sebagai bencana di negeri ini,” katanya menurut Utusan Borneo.
Stephen berkata, setakat 13 Mei, 11 kes rabies melibatkan manusia dilaporkan dengan sembilan daripadanya menyebabkan kematian.
Beliau berkata, sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017, 66 kes rabies membabitkan manusia dengan 59 kematian dilaporkan.
Untuk rekod, JPBNS mengisytiharkan wabak rabies sebagai Bencana Tahap II di Sarawak pada 25 Januari 2019.
Stephen ketika mengulas lanjut berhubung kes rabies di Sarawak bagi tempoh Januari hingga April lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) menerima 1,251 kes gigitan haiwan dengan 55% melibatkan haiwan bertuan dan 66% gigitan disebabkan provokasi haiwan.
“Kes persampelan positif rabies haiwan bagi tahun ini sahaja mencatatkan sebanyak 42 haiwan yang diuji positif. Haiwan positif ini didapati tidak diberi vaksin rabies,” katanya.
Katanya, lokasi bagi 42 haiwan yang diuji positif rabies dikesan di seluruh negeri.
Menurutnya, bagi Kuching, 10 kes anjing diuji positif rabies dikesan iaitu enam di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) iaitu Jalan Song, Kampung Tabuan Melayu, Jalan Nanas Barat, Jalan Foochow, dan Lorong Seladah.
Manakala, satu kes di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) iaitu Kampung Kudei Baru dan tiga lagi kes di kawasan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) iaitu Jalan Matang, Batu Kawa, dan Rantau Panjang.