
PETALING JAYA: Aktivis menggesa Putrajaya menyerahkan usaha pengumpulan data pelarian kepada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dengan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mempunyai kepakaran yang diperlukan untuk usaha itu.
Pengarah Eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira berkata, kerajaan tidak mempunyai mandat mahupun kepakaran untuk memutuskan siapa yang layak didaftarkan sebagai pelarian.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan bahawa Putrajaya mungkin memilih untuk menghantar pulang warga negara tertentu yang mencari perlindungan di sini atas sebab politik atau keselamatan, jika kerajaan Malaysia mempunyai hubungan yang rapat dengan negara tersebut.
“Kita sudah banyak kali lihat perkara ini berlaku,” katanya kepada FMT.
“Jadi sebenarnya bukan tugas kerajaan untuk memutuskan siapa pelarian dan siapa bukan. Mandat itu harus jatuh atas pihak bebas daripada masyarakat sivil dan UNHCR sendiri.”
Mahi Ramakrishnan daripada Beyond Borders berkata, beliau tidak percaya dengan keupayaan Putrajaya dalam mengendalikan data pelarian.
Tambahnya, UNHCR telah menjalankan tugas dengan baik dalam mendaftar dan melindungi komuniti pelarian walaupun mereka dimusuhi di negara ini.
Beliau menggesa Putrajaya agar membuktikan ia ikhlas menjaga hak dan kebajikan pelarian, dengan memberikan UNHCR akses kepada depoh imigresen dan mengeluarkan moratorium berhubung serbuan penguatkuasaan.
“Apa kepakaran yang kerajaan ada untuk mengambil alih peranan ini? (Langkah itu) sangat tidak masuk akal dan seolah-olah memperolok-olokkan proses itu.
“Terletak pada kerajaan untuk menunjukkan ia ikhlas,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa mesti ada proses yang betul untuk mendaftarkan pelarian jika Putrajaya mahu mengambil alih peranan itu.
Proses memastikan pegawai dilengkapi dengan pengetahuan dan kepakaran yang tepat akan mengambil masa bertahun-tahun, tambahnya.
Pada Selasa, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Jabatan Imigresen sedang berusaha mendaftarkan pelarian yang menetap di Malaysia untuk mengumpul data berkaitan. Mereka akan diberi kad pelarian, katanya.
Saifuddin dilaporkan berkata, data kerajaan menunjukkan 14,000 pelarian ditahan di 19 pusat tahanan di seluruh negara.
Beliau juga berkata, kerajaan tidak mempunyai akses kepada data UNHCR kerana Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951.
Sementara itu, Pereira berkata, isu yang lebih mendesak di negara ini adalah kelemahan rangka kerja undang-undang untuk melindungi pelarian kerana mereka hanya dikategorikan sebagai pendatang tanpa dokumen mengikut undang-undang.
“Kerajaan harus meminda undang-undang berkaitan Majlis Keselamatan Negara dan dasar keselamatan negara yang menganggap pelarian dan pencari suaka sebagai pendatang tanpa dokumen,” katanya.