
PETALING JAYA: Free Malaysia Today (FMT) bekerjasama dengan pakar jenama, digital dan acara, Element X Strategies untuk mempromosikan pameran kereta Tokyo Auto Salon di Kuala Lumpur bulan depan.
Pameran Tokyo Auto Salon yang berprestij itu adalah pameran kereta “aftermarket” tertua di dunia dan ini kali pertama ia akan diadakan di Malaysia.
Pameran itu akan berlangsung dari 9 hingga 11 Jun di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) dan dianjurkan bersama Element X Strategies serta agensi pemasaran kreatif Muse Group Asia.
Ia menampilkan beberapa pengubahsuaian kereta yang terkini dan paling unik, produk dan teknologi, pertandingan penggayaan auto dan ratu perlumbaan.
Bercakap kepada FMT, Pengasas, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Element X Strategies, Jason Yap, berkata keputusan membawa pameran kereta itu ke Malaysia adalah bukti pasaran yang “sangat sihat” di negara ini untuk peminat kereta.
“Terdapat industri ‘aftermarket’ yang besar di Malaysia, yang merupakan salah satu sebab mengapa prinsipal di Jepun berpendapat Malaysia akan menjadi lokasi baik untuk tahun ke-41 pameran kereta itu,” katanya.
Terdapat lebih sembilan juta kereta penumpang di Malaysia dengan nisbah pemilikan 3.3 orang bagi setiap kereta, menurut Institut Penyelidikan Ekonomi untuk Asean dan Asia Timur. Ini adalah nisbah pemilikan terbesar di Asia Tenggara.
Pengarah Urusan FMT, Azeem Abu Bakar berkata: “Kerjasama dengan Element X Strategies membolehkan perluasan liputan kepada automotif
dan memenuhi keperluan pembaca yang mencari kandungan gaya hidup dan berita automotif yang komprehensif”.
Azeem berkata, dengan enam juta bilangan pembaca, kerjasama FMT dan Element X merupakan langkah strategik untuk menyampaikan kandungan automotif yang sangat menarik dan premium.
“Matlamat kami adalah untuk meletakkan diri kami sebagai pemain utama dalam dunia berita automotif, memenuhi keperluan pembaca kami yang mempunyai cita rasa,” katanya.
Yap berkata, mereka yang menghadiri pameran itu boleh melihat kereta unik dibawa terus dari Jepun, sambil menambah bahawa kereta “custom” tempatan juga akan dipamerkan.
Lebih 200 kereta dijangka dipamerkan, termasuk daripada SoonSoon Garage, Mayshowa Auto Parts Sdn Bhd, Guangzhou Adtory Munshing Brakes Automobile, JCC Automobile Sdn Bhd, dan Mitsubishi Motors Malaysia.
Aktiviti untuk pameran kereta termasuk pertandingan penggayaan auto meliputi tujuh kategori (penggayaan kereta, tala, sedan, minivan atau wagon, SUV dan kereta kompak), serta cabutan bertuah dalam talian.