
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) belum menerima aduan berhubung penjualan semula tiket konsert Coldplay yang mencecah RM43,000.
Menterinya Salahuddin Ayub, berkata jika ada pihak membuat aduan, KPDN akan menyiasat perkara itu bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).
“Kalau ada laporan rasmi, kita akan beri nasihat kepada rakyat. Apa pun nak menonton, biar bijak dan jangan sampai (bayar) harga RM43,000, itu tidak munasabah,” katanya selepas menghadiri Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2023 di ibu negara.
Tular di media sosial mengenai kewujudan akaun di pelbagai platform yang menjual tiket konsert Coldplay namun dikatakan dikendalikan oleh “scammer”.
Selain itu, terdapat juga pihak menjual semula tiket konsert kumpulan rock British itu pada harga mencecah RM43,200 sekali gus mengundang kecaman.
Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil tindakan berkaitan iklan jualan semula tiket konsert Coldplay di media sosial.
Sementara itu, Salahuddin turut menasihati orang ramai membeli tiket melalui sumber sah bagi mengelak menjadi mangsa “ulat tiket”.
“Saya rasa rakyat Malaysia ini bijak. Jangan beli daripada ‘ulat’, beli daripada ejen yang dah disahkan,” katanya.