
PUTRAJAYA: Malaysia masih kekurangan pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni yang menurutnya ketika ini hanya terdapat 667 orang pakar O&G di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).
Lukanisman berkata, pelbagai usaha sedang dilaksanakan KKM bagi menutupi kelompongan dalam O&G di hospital serta memenuhi nisbah Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) iaitu 23.7 pakar O&G bagi setiap 100,000 wanita.
KKM sedang berusaha menyediakan 155 pakar O&G setiap tahun termasuk melalui pengambilan pelajar sarjana O&G.
“Sasaran kita untuk mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 orang pakar O&G di fasiliti KKM menjelang 2030,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Kongres O&G KKM 2023 yang bermula hari ini hingga 21 Mei.