
GEORGE TOWN: Semua negeri harus bekerjasama untuk menyusun strategi untuk menguruskan paras air dan menyedari bahawa mereka tidak boleh lagi mengekalkan sumber air untuk diri sendiri, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago.
Santiago berkata tidak sepatutnya ada negeri yang memiliki kuasa untuk menjadikan negeri lain sebagai ‘tebusan’, terutamanya dalam menghadapi perubahan iklim dan kejadian seperti fenomena El Nino yang memberi impak besar terhadap bekalan sumber air.
Beliau berkata, daripada bersaing untuk menunjukkan dominasi, negeri-negeri seharusnya memberi tumpuan kepada perkongsian kemakmuran dan kesejahteraan bersama.
“Tidak sepatutnya ada negeri yang mengalami kekurangan air sedangkan negeri yang lain mempunyai sumber berlebihan. Ekonomi semua negeri saling berkait rapat, tetapi masih ada yang ingin menunjukkan siapa yang paling berkuasa,” katanya.
“Pada masa depan sesebuah negeri perlu bersedia untuk memberikan air kepada jiran mereka apabila diperlukan. Sudah tiba masanya mereka mengenepikan ego dan melihat dari sudut kepentingan negara,” katanya kepada FMT.

Santiago berkata, dalam kes Perak enggan memberikan air kepada Pulau Pinang, adalah memilukan apabila sejumlah besar air di Perak mengalir ke laut, terbuang dan tidak digunakan.
Beliau memberi contoh limpahan air mentah dari Empangan Sultan Azlan Shah yang mengalir ke Sungai Ulu Kinta, yang sebenarnya boleh dikongsi dengan Pulau Pinang yang bersebelahan.
Katanya, perkongsian sumber, walaupun melibatkan pembayaran, sepatutnya diberi keutamaan.
“Sesebuah negeri tidak boleh lagi mendakwa mereka memiliki sumber air mereka sendiri. Bekalan air tidak boleh lagi ditentukan oleh sempadan. Sudah tiba masanya bagi kita untuk meninggalkan pemikiran yang ketinggalan zaman ini,” katanya.