
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan perniagaan kad sim membabitkan kerugian dianggar mencecah RM1.5 juta ditahan polis dalam satu serbuan di ibu negara.
Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata suspek berusia 32 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Rabu lepas selepas menerima tiga laporan polis berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, sindiket ini dipercayai beroperasi sejak 2020 menawarkan pelaburan berbentuk perniagaan kad sim dengan setiap pakej pelaburan menawarkan pulangan bulanan berbeza dan pelabur dijanjikan menerima imbuhan sepanjang hayat.
“Siasatan mendedahkan pelabur hanya menerima pulangan di peringkat awal sebelum dimaklumkan bahawa syarikat telah mengalami kerugian dan pulangan yang dijanjikan tidak dapat dibayar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noorsiah berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan suspek direman selama dua hari bermula kelmarin sehingga semalam dan diberikan jaminan polis setelah tempoh reman tamat.
“Mana-mana individu yang menjadi mangsa digesa segera tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan lebih terperinci sebelum menyertai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.