
PETALING JAYA: Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu menyediakan “tawaran baharu” di Kedah yang manfaatnya bukan sahaja mengutamakan orang Melayu.
Ketua Umno Kedah Mahdzir Khalid berkata tawaran bakal dibuat harus membuatkan setiap rakyat Kedah sama ada Melayu, Cina, India, dan masyarakat Siam merasakan kerajaan negeri sentiasa bersama mereka.
“Apakah tawaran kita kepada kepada 2.2 juta rakyat Kedah,” katanya pada Konvensyen Perpaduan Kedah.
Menteri besar Kedah dari 2005 hingga 2008 itu, berkata masyarakat Siam misalnya berdepan masalah berkaitan sijil pertanian, manakala segelintir komuniti India mengalami masalah sosial seperti di Sungai Tukang apabila ladang getahnya lenyap kerana pembangunan pesat.
Katanya, ada segelintir kanak-kanak pula tidak dapat bersekolah, selain peningkatan gengterisma dalam komuniti itu.
Menurutnya, ketika menjadi menteri besar, beliau cuba membantu memindahkan kumpulan terbabit ke Sungai Petani, namun tidak kesampaian apabila BN kalah kepada PAS dan Pakatan Rakyat, pada 2008.
Sementara itu, Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar meminta pimpinan PH dan BN tidak terganggu memilih “poster boy” atau calon menteri besar, sebaliknya menyerahkan kepada Sultan Kedah apabila PRN selesai.
Naib presiden Amanah itu turut menggesa pemimpin gabungan untuk “meremajakan pemikiran” bagi menarik golongan muda yang kini mewakili peratusan besar pengundi.
“Jika kita dapat (sokongan daripada golongan muda), kita boleh membawa perubahan besar,” kata Mahfuz.