
PETALING JAYA: Perniagaan bukan matlamat utama filem Anwar: The Untold Story walaupun penghasilan naskhah biopik itu menelan belanja RM10 juta, kata Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar.
Penerbit eksekutif yang juga penulis cerita asal filem itu berkata, beliau mahu karya memaparkan kisah perjuangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditampilkan dalam versi tidak pernah diceritakan oleh pemerintah.
“Bisnes bukan matlamat utama filem ini. Matlamat supaya orang tahu ada pernah berlaku cerita ini, dan kenapa saya nak buat juga cerita ini walaupun risiko rugi itu ada dan sangat ada?
“Selama ini kita hanya dengar satu versi, peristiwa yang sama. Kita sebagai rakyat Malaysia kena dengar pelbagai versi.
“Saya tampilkan satu versi yang lain, orang yang sendiri mengalaminya, ini versinya. Saya tidak mahu kata kamu harus percaya versi ini tetapi saya percaya pendidikan harus dua versi atau tiga versi,” katanya ketika ditemu bual Hot FM dan Khairy Jamaluddin sebagai penyampai bersama radio itu.
Semalam, produksi filem berkenaan kecewa dengan sesetengah pawagam yang didakwa enggan memberikan sokongan kepada tayangan naskhah biopik itu.
Pengerusi DMY Creation, Mohamed Yusoff, berkata meskipun mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, ia masih tidak memenuhi sasaran susulan ada unsur “disabotaj” pihak pawagam yang enggan memberi lebih slot tayangan.
Mengulas lanjut, Zunar berkata walaupun filem berkenaan dikategorikan sebagai naskhah berat yang genrenya kurang digemari rakyat, namun berpendapat negara memerlukan filem seperti itu sebagai alternatif kepada penonton.
“Kita tak boleh tunggu orang bersedia, orang Malaysia takkan bersedia pada bila-bila. Kita kena bagi mereka satu alternatif.
“Kalau mereka kata ini satu yang berat, biasakan dengan suatu yang berat bahawa ilmu dan pengetahuan tentang sesuatu harus dikembangkan,” katanya sambil menambah “ia bukan hanya menerusi filem sahaja”.
Filem Anwar: The Untold Story terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran DMY Creation arahan pengarah Indonesia, Viva Westi, mula ditayangkan sejak Khamis lalu.
Ia dibintangi Farid Kamil yang memegang watak Anwar, manakala aktres popular Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Dr Wan Azizah Wan Ismail.