
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Sarawak terkilan permintaan untuk bertemu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bagi membincangkan isu mendesak melibatkan sekolah tidak dipenuhi.
Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak, Roland Sagah Wee Inn berkata pihaknya cuba mendapatkan masa daripada pihak Fadhlina semasa lawatannya ke negeri itu baru-baru ini “tetapi setakat ini belum ada tarikh lagi”.
Memetik laporan Utusan Borneo, Sagah berkata antara isu mendesak yang mahu dibangkitkan ialah kekosongan jawatan guru besar yang belum terisi di beberapa sekolah di daerah Daro, lantaran keperluan baharu yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan.
Menurut laporan itu, prasyarat pelantikan bagi mengisi jawatan guru besar adalah pensijilan Kelayakan Professional Kebangsaan bagi Kepimpinan Eksekutif, yang dianugerahkan oleh Institut Aminuddin Baki.
“Di sebalik hasrat murni Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kualiti pemimpin sekolah, ini secara tidak sengaja telah melambatkan keseluruhan proses pelantikan dan penggantian guru besar,” katanya.
Sagah berkata, beliau ada bertemu Fadhlina semasa menteri itu mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Abang Johari Openg, tetapi pertemuan itu membincangkan hal yang berbeza.
Fadhlina bertemu premier Sarawak pada Januari. Pada sidang media selepas kunjungan hormat itu, Fadhlina berkata kementeriannya mengutamakan usaha menambah baik kemudahan sekolah.