
PETALING JAYA: Kerajaan tidak lagi akan memberi subsidi kepada golongan berpendapatan tinggi (T20) bagi penggunaan elektrik dan bantuan kewangan haji.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata sistem penyelarasan data – Pangkalan Data Utama (Padu) – yang dijangka siap akhir tahun ini akan mengurus serta menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan layak.
“Kita tidak naikkan kadar elektrik melainkan untuk T20. Saya nak jelaskan di sini untuk T20 saja, iaitu rumah-rumah besar yang tidak akan diberi subsidi elektrik.
“Ini sama seperti bantuan kewangan haji. Kepada B40 kita tambah, tapi bagi T20, tiada akan ada lagi tambahan atau subsidi dari kerajaan, mereka harus (keluar) belanja sepenuhnya kos haji kerana mereka dalam kalangan yang mampu.”
Katanya di Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Hamzah Zainudin (PN-Larut) berhubung dasar baharu dan drastik yang dilaksanakan kerajaan perpaduan bagi melonjakkan ekonomi negara, dengan mengambil kira risiko penguncupan ekonomi dunia.
Anwar berkata, pengecualian itu adalah langkah kerajaan untuk melaksanakan subsidi lebih bersasar.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi.
Lembaga Tabung Haji pula menetapkan bantuan kewangan haji (Hafis) bagi ibadah haji tahun ini diperuntukkan kepada jemaah muassasah B40 dan M40 yang pertama kali menunaikan haji saja, manakala jemaah muassasah T20 yang berpendapatan lebih RM15,000 akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji.