
KUALA LUMPUR: Sirim Bhd melantik Khairol Anuar Mohamad Tawi sebagai pengerusinya yang baharu bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 20 Mei.
Dalam kenyataan hari ini, Sirim berkata, pelantikan ini dibuat bagi menggantikan Ahmad Tajuddin Ali yang telah tamat tempoh perkhidmatannya.
Khairol, seorang usahawan teknologi memulakan kerjayanya di Jabatan Telekom Malaysia pada 1983 setelah tamat pengajian tinggi.
Beliau kemudiannya menubuhkan KAT Technologies Sdn Bhd pada 1994 dan menjadi pengerusi eksekutifnya selepas 14 tahun berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Kumpulan Sapura.
Khairol juga seorang jurutera profesional bertauliah dengan Lembaga Jurutera Malaysia dan kini turut memegang jawatan ahli Lembaga Penasihat Digital Perak Corporation Bhd.
Beliau pernah memegang beberapa jawatan dalam lembaga pengarah di beberapa institusi seperti Tabung Amanah Melaka, Institut Sukan Negara dan MAIM Holdings Bhd.