
PETALING JAYA: Pemimpin PAS mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak seorang penganut Kristian menggunakan kalimah “Allah” dalam pembelajaran agamanya adalah atas nasihat peguam negara.
Setiausaha agung PAS yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan, mempersoalkan sama ada munasabah peguam negara yang pada mulanya menasihatkan kerajaan memfailkan permohonan rayuan, kini menasihatkan sebaliknya.
“Logik atau tidak, (peguam negara) yang dahulunya nasihat kerajaan agar failkan rayuan, sekarang nasihat kerajaan untuk tarik balik rayuan?
“Kita masih belum dengar kenyataan peguam negara, itu kita serah kepada beliau untuk jawab,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan penjelasan Anwar bahawa raja-raja Melayu dirujuk sebelum Putrajaya membuat keputusan menarik balik rayuan itu.
Anwar sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat, perkara itu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, yang meminta kerajaan memastikan semua keputusan selari dengan pendirian raja-raja Melayu.
Tidak dinyatakan dengan jelas bila rundingan sedemikian diadakan, kata Takiyuddin.
“Tidak diberitahu bila mesyuarat (Majlis Raja-raja diadakan), bila beliau (Anwar) berjumpa dengan Agong. Adakah selepas atau sebelum (rayuan) ditarik?” soal Takiyuddin pada sidang media di bangunan Parlimen.
Sementara itu, Timbalan presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata jawapan Anwar menimbulkan keraguan kerana rayuan difailkan atas permintaan Sultan Johor, Selangor dan Kedah.
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, antara yang mempersoalkan sama ada kerajaan berunding dengan raja-raja sebelum memutuskan untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Pada Mac 2021, Mahkamah Tinggi dalam satu keputusan penting menyatakan wanita dari Sarawak, Jill Ireland, boleh menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pembelajaran agama dalam bahasa Melayu dan bahasa ibundanya, Melanau.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Nor Bee Ariffin kemudian berkata, arahan Kementerian Dalam Negeri pada 5 Dis 1986 melarang penggunaan perkataan “Allah”, “Baitullah”, “solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam tidak sah di sisi undang-undang.
Minggu lalu, FMT melaporkan keputusan kerajaan menghentikan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Jabatan Peguam Negara, yang mewakili Kementerian Dalam Negeri, memberitahu Mahkamah Rayuan pada 18 April bahawa pihaknya tidak mahu meneruskan rayuan itu.
Pada Januari, Majlis Agama Islam Selangor, Kedah dan Wilayah Persekutuan dijadikan “amicus curiae” selepas menarik balik permohonan mereka untuk campur tangan dalam rayuan kerajaan.
Pada September 2021, Majlis Agama Islam Johor juga menarik balik permohonan serupa.