
PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meluluskan pinjaman berjumlah RM19.4 juta kepada pelajar universiti swasta mulai 2015 hingga tahun ini.
Dalam jawapan bertulis Parlimen, Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Nordin berkata pinjaman itu diberikan kepada 643,258 pelajar universiti swasta.
“Daripada jumlah itu, 268,391 pinjaman untuk pelajar universiti, 139,757 pinjaman untuk pelajar kolej universiti, dan 235,110 pinjaman untuk pelajar kolej,” katanya menjawab pertanyaan Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berhubung jumlah hutang PTPTN pelajar universiti swasta dan pecahan pinjaman dari 2015 hingga 2023.
Kadar kebolehpasaran kerja meningkat
Khaled berkata, kadar kebolehpasaran graduan menyaksikan peningkatan sebanyak 4.7% daripada 85.5% pada 2021 kepada 90.2% tahun lalu.
Kadar kebolehpasaran pelajar dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) meningkat kepada 92.8% tahun lepas berbanding 88.2% tahun sebelumnya.
Pelajar politeknik dan kolej komuniti masing-masing mempunyai kadar kebolehpasaran sebanyak 96.2% dan 96.8% pada 2022 berbanding 93.7% dan 94.8% tahun sebelumnya.
“Kadar kebolehpasaran graduan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) ialah 85.5% pada 2022 berbanding 80.3% pada 2021,” katanya menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan).