
PETALING JAYA: Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan pendirian Putrajaya berhubung serbuan di butik Swatch, baru-baru ini.
Dalam hantaran di Twitter, Adun Puteri Wangsa itu menyuarakan kebimbangannya dengan “kesamaran” terhadap apa yang boleh ditafsirkan sebagai “berbahaya”.
“Adakah kita akan mula menyerbu semua kedai yang menjual apa-apa dengan hiasan pelangi/’pride’, termasuk perniagaan kecil?
“Kita memberi mesej bahawa tidak selamat untuk jenama dan syarikat beroperasi di Malaysia. Menteri berkenaan mesti menjelaskan pendirian kerajaan dalam hal ini,” katanya.
Tweet yang dikongsikan pada 3.45 petang itu dikongsi semula 149 kali, dipetik 97 kali, selain menerima 283 “like” dan 14 “bookmark” ketika berita ini disiarkan.
The Edge melaporkan, kementerian dalam negeri (KDN) menyerbu 11 butik Swatch di pusat beli belah seluruh negara termasuk Pavilion KL, One Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall dan Suria Sabah, pada 13 dan 14 Mei lalu.
Lima butik di Alor Setar, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Johor Bahru dan Kuching pula diberi amaran.
Pegawai penguatkuasaan merampas “Pride Collection” jenama itu yang memaparkan jam bertemakan pelangi, selepas warganet mengaitkan koleksi berkenaan dengan sokongan kumpulan rock Britain Coldplay terhadap masyarakat lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).
Kumpulan itu bakal mengadakan konsert pertamanya di Malaysia pada November, dan seorang pemimpin PAS mendesaknya dibatalkan kerana didakwa menggalakkan budaya hedonisme dan songsang.