
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob kesal dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Parlimen mengenai keputusan kerajaan tidak meneruskan pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri.
Beliau berkata, ketika pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia, sebanyak RM20 juta diperuntukkan dalam Bajet 2023 bagi pembinaan litar perlumbaan drag.
Ismail berkata, pembinaan litar itu untuk memberi peluang kepada belia membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran betul.
“Litar drag ini juga akan menjadi platform terbaik menarik lebih ramai tenaga pengajar profesional untuk melatih belia dan seterusnya melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran negara.
“Kekurangan platform dan kompleks sukan permotoran ini merupakan salah satu punca peningkatan masalah sosial dalam kalangan belia seperti lumba haram, samseng jalanan dan melepak,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, menteri belia dan sukan seolah-olah tidak memahami aspirasi anak muda dan minat mereka dalam bidang permotoran ini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meninjau dan melawat litar perlumbaan drag yang siap dibina di Terengganu dan Johor.
“Kos pembinaan litar drag di Johor adalah pada kadar minimum seperti pembinaan litar dan pagar keselamatan berbanding di Terengganu yang menelan kos lebih tinggi kerana mempunyai tempat duduk ‘grandstand’.
“Pembinaan litar drag di Jempol, Negeri Sembilan yang siap pada 2022 juga hanya melibatkan kos sebanyak RM1.3 juta iaitu satu usaha kerjasama antara agensi swasta, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri,” katanya.
Terdahulu, Hannah memaklumkan kerajaan tidak merancang meneruskan cadangan kerajaan terdahulu untuk mewujudkan litar drag di setiap negeri.
Beliau berkata, kerajaan akan menanggung kos selenggara tinggi jika cadangan itu diteruskan.
Penjelasan daripada Hannah sebagai respons terhadap soalan Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan).