
KUALA LUMPUR: Manipulasi terhadap penggiat seni termasuk harga kandungan yang rendah mampu diatasi dengan kewujudan undang-undang berkaitan industri kreatif, kata Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Abdul Jamil.
Lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, beliau berkata ketika ini tiada satu akta khusus menjaga kebajikan golongan itu walaupun desakan telah disuarakan sejak sekian lama kepada kerajaan yang silih berganti.
“Kita tiada akta menjaga dari sudut jaminan undang-undang, ini menjadi masalah kepada industri dan penggiat seni termasuk dalam isu harga kandungan (dibeli stesen televisyen).
“Jika dimasukkan (harga kandungan atau program) dalam akta, maka ia menjadi mandatori kepada stesen televisyen yang boleh didakwa jika gagal patuh,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, akta itu juga akhirnya mampu membantu menamatkan manipulasi dan penindasan oleh pihak tertentu terhadap penggiat seni.
Zed berkata desakan itu mempunyai asas kuat untuk dilaksanakan oleh kerajaan kerana sumbangan industri seni yang semakin membesar kepada ekonomi negara.
“Perkembangan (industri seni) semakin besar dan menyumbang kepada ekonomi negara. Malah banyak fakulti seni di (universiti di) Malaysia, tetapi jaminan undang-undang tiada,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan meneruskan perjuangan untuk memastikan penggiat seni menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibayar penerbit atau majikan.
Menurut Zed, kerajaan pada 2016 meluluskan skim caruman Perkeso kepada pekerja seni yang ingin mencarum sendiri dengan Seniman bertindak sebagai ejen.
“Selepas ini kita kena wajibkan penerbit untuk carumkan penggiat seni ini,” tegas Zed.