
KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan Telegram boleh dikenakan tindakan, jika terus mengabaikan jemputan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk berbincang dan mencari penyelesaian berhubung beberapa aduan, kata Menterinya, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan mengenai perkhidmatan disediakan platform itu, berkaitan keselamatan awam, aktiviti jualan bahan terlarang, “scammer” serta pornografi, justeru perbincangan dengan penyedia perkhidmatan itu penting bagi mencari penyelesaian segera.
“Kita akui hadapi masalah dengan pihak Telegram. Walaupun dijemput untuk bertemu sejak Januari lepas, sehingga hari ini mereka enggan beri kerjasama. Berbanding platform lain, kita tidak lihat kesungguhan pihak Telegram memberi kerjasama.
“Saya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia meneliti apakah tindakan wajar yang perlu diambil,” katanya selepas melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 di Esplanade Taman KLCC
“Saya serahkan kepada SKMM sebagai badan kawal selia bertanggungjawab untuk mengesyorkan apa tindakan yang perlu diambil. Saya masih menunggu.”