
PETALING JAYA: Seorang aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) meminta kerajaan menghapuskan tanggapan bahawa golongan itu mengalami masalah kesihatan mental.
Pengasas bersama Justice for Sisters, Thilaga Sulathireh berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi kerajaan lain perlu menerajui usaha membetulkan persepsi salah itu.
Katanya, Persatuan Psikiatri Amerika menggugurkan “homoseksualiti” daripada senarai gangguan mental 50 tahun lepas, pada 1973.
Pada 2019, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan “gangguan identiti jantina” daripada senarai penyakit mentalnya.
“Penting untuk KKM menghapuskan tanggapan ini,” kata Thilaga.

“Maklumat salah berhubung LGBT mempunyai masalah mental dan boleh dipulihkan menimbulkan ketakutan dan ketidakpercayaan dalam institusi awam, termasuk sistem kehakiman dan kesihatan.”
Justeru, beliau menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menghapuskan diskriminasi terhadap golongan LGBT dengan menyemak maklumat salah.
Selasa lepas, Ahli Parlimen Pasir Salak Jamaludin Yahya mencadangkan agar kerajaan mengklasifikasikan LGBT sebagai masalah kesihatan mental.
Cadangan itu disuarakan wakil rakyat PAS terbabit ketika mencelah perbahasan rakan segabungan, Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berhubung cadangan pindaan terhadap Akta Kesihatan Mental 2001.
Halimah bersetuju perkara itu dimasukkan sebagai sebahagian perbahasannya.

Seorang lagi aktivis LGBT, Nisha Ayub menggesa ahli politik agar berhenti mengambil kesempatan terhadap golongan itu untuk mendapat kelebihan.
“Mereka yang bermasalah, bukan kami, komuniti yang tidak membahayakan sesiapa pun,” katanya.
Pengasas Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Umum Malaysia (PKKUM), Elisha Kor Krishnan menyeru Dewan Rakyat agar membantu mengubah stigma menyelubungi LGBT.

“(Ia patut) memastikan semua kurikulum latihan kesihatan mental dan kesihatan bersekutu menggabungkan pengetahuan mengenai hak asasi manusia serta LGBT,” katanya sambil menggesa pihak prihatin berdialog untuk membincangkan dan menghentikan tanggapan “masalah mental”.