
PETALING JAYA: Bekas menteri sumber manusia, M Kula Segaran menuntut penjelasan berhubung peningkatan kos RM154 juta bagi pembinaan projek Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Perkeso, selepas diberikan secara runding terus.
Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, kebenaran meneruskan projek itu melalui rundingan terus oleh lembaga Perkeso atas alasan “menjimatkan masa” mencetuskan persoalan.
Beliau mendakwa, projek dianugerahkan dalam kaedah seperti itu boleh menimbulkan elemen rasuah susulan membabitkan sejumlah besar wang.
Menurut Kula, ketika beliau menerajui Kementerian Sumber Manusia pada 2018 bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), projek itu dinilai pada kadar RM500 juta sahaja.
Katanya, kini kos projek adalah RM654 juta dianugerahkan secara rundingan terus oleh kerajaan terdahulu pimpinan Perikatan Nasional, selepas kejatuhan kerajaan PH, pada Februari 2020.
“Sebelum ini, saya memastikan Perkeso memperoleh tanah kerajaan jadi kos menjadi lebih murah, dan kita mengadakan sejumlah libat urus dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan akhirnya mendapat sebidang tanah di Ipoh.
“Semua ini dilakukan secara telus dan terbuka. Jadi, saya mahu Kementerian Sumber Manusia menjelaskan peningkatan kos mengejut. Apa kos tambahan itu? Apa pula tambahan kemudahan yang anda ingin bina dengan tambahan wang itu?” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga menuntut penjelasan kenapa tender terbuka tidak dilaksanakan, memandangkan ketika beliau menerajui kementerian tersebut, mahu projek berkenaan melalui proses dinyatakan.
Kula menggesa Putrajaya menyemak tender terbabit dan menurunkan kos projek.
“Perkara ini dilakukan berkali-kali bawah pentadbiran kerajaan PH yang mana kita melihat semula projek (dianugerahkan ketika pentadbiran Najib Razak) dan mengenal pasti cara menjimatkan wang dengan mengurangkan kos berlebihan,” katanya.