
PETALING JAYA: Seorang penagih ditahan kerana memukul ibu dan adiknya dengan kayu beruti selepas mengamuk gagal mendapat RM5 untuk membeli dadah.
Wanita berusia 48 tahun itu luka di kepala, manakala anak lelakinya berusia 17 tahun luka di siku kiri dalam kejadian 2.50 petang semalam di sebuah rumah di Skim Penempatan Telipok, Kota Kinabalu.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 33 tahun itu yang dalam keadaan khayal meminta RM5 daripada ibunya, dipercayai untuk membeli syabu.
Tetapi, mangsa hanya memberi RM3 menyebabkan suspek marah dan mengamuk.
“Suspek kemudian mengambil sebatang kayu beruti dari atap rumah lalu melibas kepala mangsa (ibunya) hingga luka dan berdarah.
“Adik kandung suspek yang melihat situasi itu cuba menghalangnya, namun turut dipukul hingga luka di siku kirinya,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, suspek yang melarikan diri dan membuang kayu beruti itu di belakang rumahnya, ditangkap penduduk sebelum dibawa ke IPD Kota Kinabalu dan ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah.
“Siasatan mendapati suspek ialah penagih dadah dan sering mengamuk serta memukul ibunya, namun laporan polis tidak pernah dibuat.
“Suspek tidak bekerja dan sering menagih syabu. Suspek juga mempunyai empat rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah.”
Katanya, ujian air kencing suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, dengan lelaki itu kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan.