
PETALING JAYA: Seorang pesara kerajaan bukan sahaja kerugian lebih RM845,450, malah hampir kehilangan rumah susulan terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon.
Wanita berusia 74 tahun itu hanya menyedari menjadi mangsa apabila meminta rakannya mencari ejen untuk menjual rumahnya, selepas “dinasihati” seorang suspek yang konon bergelar “Datuk”.
Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kejadian bermula pada 9 Mei apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu ketika berada di rumahnya, di Ipoh.
“Mangsa dikatakan mempunyai tunggakan cukai syarikat yang didaftarkan atas namanya di Melaka sebelum panggilannya disambung kepada dua ‘pegawai polis’.
“Suspek yang menyamar sebagai pegawai polis mendakwa membuat semakan rekod dan mendapati pengadu terlibat dengan pengubahan wang haram selain kes penyeludupan dadah,” katanya menurut Bernama.
Yusri berkata, suspek ketiga bergelar “Datuk” kemudian mengarahkan mangsa mengikut arahannya dan melaporkan maklumat akaun bank termasuk pergerakan pengadu dari semasa ke semasa.
“Mangsa memasukkan wang RM845,450 melalui mesin deposit secara berperingkat ke dalam 14 akaun bank atas pelbagai nama pemilik dari 10 hingga 19 Mei konon untuk tujuan semakan.
“Suspek juga memberikan tempoh sebulan kepada mangsa untuk menjual rumahnya bagi tujuan semakan malah menasihati pengadu tidak melaporkan perkara itu kepada pihak ketiga,” katanya.
Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain turut mengingatkan orang ramai berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa penipuan termasuk tidak melayan panggilan telefon atau mesej individu atau nombor tidak dikenali.
“Agensi penguatkuasaan di Malaysia tidak akan menelefon untuk mengugut seraya memberi pilihan untuk ‘selesai di luar’, sentiasa membuat semakan dan pengesahan dengan jabatan atau agensi berkaitan,” katanya.
Orang ramai turut diingatkan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi membantu mangsa penipuan siber agar bertindak segera daripada terus menanggung kerugian akibat pengeluaran wang tanpa sekatan.