
KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh negara memanfaatkan peluang menyemak ketepatan arah kiblat di lokasi masing-masing susulan fenomena Istiwa’ A’dzam pada 5.18 petang hari ini.
Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Unit Falak) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Muhammad Saidul Marjuni berkata Istiwa’ A’dzam adalah fenomena yang berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei (5.18 petang) dan 16 Julai (5.26 petang) apabila kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah di Mekah yang menjadi kiblat umat Islam ketika mendirikan solat.
“Bayang yang dihasilkan oleh matahari pada ketika itu (masa yang ditetapkan pada kedua-dua tarikh tersebut), betul-betul tepat menghala ke arah kiblat.
“Kami sarankan umat Islam supaya memastikan ketepatan arah kiblat di rumah masing-masing agar kita dapat beribadah dengan lebih tepat dan sempurna,” katanya kepada pemberita selepas mendemonstrasikan kaedah menyemak arah kiblat kepada pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia.
Saidul menerangkan kepada pengunjung di sini bagaimana arah kiblat boleh ditentukan berdasarkan arah bayang menggunakan beberapa objek yang lazimnya mudah didapati di rumah seperti benang, kertas, dan batang penyapu atau apa-apa objek tegak.
Di Pulau Pinang, Jabatan Mufti negeri telah mengeluarkan surat pekeliling kepada semua masjid untuk membuat semakan arah kiblat sempena fenomena Istiwa’ A’dzam susulan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri.
Penolong Mufti Kanan (Falak) Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang Muhammad Haniff Baderun, berkata sebanyak 33 masjid telah membuat semakan dan masih terdapat lebih 174 masjid yang perlu melakukan semakan semula arah kiblat hari ini terutama masjid yang dibina sebelum 1990-an.
Di Sarawak, cuaca terik di sekitar Bintulu yang terletak di wilayah tengah negeri itu memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan fenomena Istiwa’ A’dzam di Pusat Falak Bintulu.
Menurut Ketua Penolong Mufti Bahagian Falak di Jabatan Mufti Sarawak Razalie Hussaini, kira-kira 50 orang menyaksikan fenomena itu terdiri daripada pegawai pusat falak, pegawai jabatan mufti serta wakil masjid dan surau di sekitar Bintulu.
Sementara itu, keadaan cuaca yang tidak mengizinkan di beberapa negeri menyukarkan usaha untuk menyemak semula arah kiblat.